Sebelum dibaik-pulih |
TANGGA batu dengan kemasan jubin bermotif bungaan segar itu bagaikan tersenyum menyambut kunjungan para tetamu ke teratak berusia 179 tahun ini.
Rona ceria dan kemasan pada ikon seni bina Melayu Melaka itu masih kekal dan menarik biarpun diuji perjalanan masa mencecah hampir dua abad. Malah, menurut beberapa orang penduduk setempat, tangga batu di rumah milik penghulu Demang Abdul Ghani Abdul Majid ini adalah yang tercantik Melaka.
Melangkah ke ruang halaman sederhana besar, terdapat dua kolah di sisi tangga yang dahulunya digunakan untuk mencuci kaki sebelum naik ke rumah selain untuk mengambil wuduk.
Replika labu dan nanas yang diletakkan bersebelahan pula dikatakan membawa maksud kemanisan dan kemewahan kepada tuan rumah serta tetamu yang berkunjung ke rumah bekas Ketua Penghulu jajahan Merlimau ini.
Usai melangkah bendul di muka tangga, gambaran struktur keseluruhan rumah dapat dilihat dengan jelas. Dibina di tanah seluas 1,350 meter persegi, rumah ini dibina pada tahun 1831 dengan kos RM23,000. Ia mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.
Sehingga kini keadaannya masih megah tersergam. Seni jubin serta ukiran yang dipengaruhi gaya seni bina Palembang, China dan Eropah menjadikan rumah agam ketua penduduk yang dilantik British ini memiliki pesona yang tersendiri.
Menariknya, bekalan jubin tersebut dibawa oleh pedagang asing yang datang ke Melaka. Ada yang datang dari China, Jepun malah sejauh Itali.
Selepas kematian Abdul Ghani, rumah unik ini diwariskan kepada anak lelakinya, Penghulu Md. Natar Abdul Ghani, juga telah meninggal dunia pada 1978.
Menurut cucu Md. Natar yang menjaga rumah tersebut, Rizal Md. Ramli berkata, rumah tersebut direka moyangnya bukan sekadar sebagai kediaman sebaliknya sebagai pusat pengurusan mukim.
“Rumah ini terbahagi kepada anjung, rumah depan, rumah tengah dan rumah belakang. Ia juga dilengkapi dengan pelantar, dua bilik tidur, loteng dan ruang memasak yang besar memandangkan mesyuarat pembesar dan majlis keraian sering diadakan di sini satu masa dahulu,” katanya ketika ditemui krew Jurnal baru-baru ini.
Jelas Rizal, 36, rumah depan atau anjung digunakan untuk urusan pentadbiran, perbincangan, perbicaraan dan penyelesaian masalah.
Tidak hairanlah, terdapat banyak kerusi panjang yang terlekap di sekeliling di bahagian ini. Selain itu, tokoknya, deretan kerusi itu menjadi pilihan para pegawai British yang berkunjung ke rumah itu duduk dan berehat dengan lebih selesa apabila canggung duduk bersila.
“Semua ukiran di anjung ini bermotifkan flora dan fauna. Motif burung tekukur dan lekapan tanduk rusa asli di muka rumah ini menunjukkan moyang saya yang sangat gemar berburu,” katanya.
Seni bina anjung dipengaruhi gaya limas yang menggabungkan warisan Johor, Riau dan Lingga turut diolah ke bahagian rumah depan.
RUANG anjung dijadikan tempat untuk bermesyuarat, meraikan pembesar dan membicarakan serta menyelesaikan masalah penduduk kampung.
Di ruang ini, pengkayaan ukiran pada kekisi tingkap, jendela dan daun pintu jelas kelihatan. Menggunakan khidmat pakar ukir dari Kelantan, ketelitian memilih corak dan kehalusan menzahirkan ilham di atas kayu resak sekaligus mengadapatasi estetika rumah Melayu tradisional.
Melangkah ke rumah tengah yang menjadi ruang utama teratak warisan ini, pertembungan dua prinsip rekaan seni bina lama iaitu Melayu Melaka dan seni bina limas yang menggabungkan Melayu Johor, Riau dan Lingga jelas kelihatan.
Berfungsi sebagai ruang tumpuan jika ada majlis keraian mahupun mesyuarat bersama para pembesar, sebuah persemayaman khas untuk penghulu masih dikekalkan di situ. Menurut sesetengah pendapat, selain penghulu, pengantin dari keturunan Demang akan disandingkan di persemayaman tersebut.
Loteng
Ukiran naga pada bahagian ruang rehat tangan dan warna merah-kuning yang melatari persemayaman itu jelas diambil dari pengaruh China.
Kamar tidur untuk Demang pula ditempatkan berdepan dengan tempat persemayamannya. Di ruang itu juga terdapat satu tangga khas untuk ke loteng yang menempatkan anak-anak gadis Demang serta khazanah warisan keturunannya.
Tiang seri yang terletak beberapa langkah dari tempat Demang mempengerusikan mesyuarat pula sarat dengan ukiran hiasan secara tidak langsung menjadi titik fokal yang mengindahkan rumah tengah.
Menuruni tangga di sisi rumah tengah, kelihatan rumah belakang yang dipisahkan dengan pelantar simen. Kata Rizal, pelantar tersebut digunakan untuk tujuan menjemur padi, kuih, ikan dan pelbagai aktiviti lain. Ia juga menjadi tempat penyediaan hidangan dalam majlis tertentu.
Di sisi kiri tangga, sebuah kolah buatan disediakan untuk tujuan minuman dan kegunaan harian.
“Rumah belakang pula biasanya digunakan oleh wanita khasnya kaum ibu untuk berbincang, berhibur dan beristirehat. Atap genting asal untuk rumah ini masih digunakan hingga sekarang.
“Di hadapannya pula ada dapur yang bersambung dengan lokap untuk pesalah-pesalah ditahan sebelum diserahkan kepada polis,” ujar Rizal.
Keunikan dan nilai sejarah yang ada pada rumah warisan ini telah melayakkannya untuk dibaik pulih oleh Jabatan Warisan Malaysia pada tahun 2007 dengan kos RM1.8 juta.
Struktur rumah ini masih dikekalkan dan ia dicat semula dengan warna asal untuk menyuntik wajah baru dan keceriaan kepada teratak bersejarah ini.
Dikenali sebagai Rumah Penghulu Abdul Ghani/Md. Natar, ia adalah rumah Melaka tertua dan dianggap antara rumah tradisi tercantik di negara ini. Minat pemiliknya kepada budaya seni bina tradisi Melayu hampir dua dekad lalu memberi peluang kepada generasi sekarang untuk menyaksikan warisan budaya ini.
SUMBER : http://www.kosmo.com.my/
Selepas dibaik-pulih
No comments :
Post a Comment